Perlawanan pemanas badan menentang Vietnam akan menjadi penanda aras buat skuad Dollah Salleh akan apakah yang boleh dijangkakan oleh peminat bola sepak negara apabila saingan Piala Suzuki AFF 2014 membuka tirainya pada 23 November ini.
Tewas mudah 3-0 kepada skuad bawah 21 Syria boleh dianggap sebagai satu tamparan bagi setiap pemain yang menyarung jersi kebangsaan. Manakan tidak hampir keseluruhan daripada mereka telah beraksi baik ketika di Piala Malaysia namun tidak mampu membenam pasukan muda Syria.
Pastinya, peminat bola sepak tanah air hanya mahu melihat kemenangan dicapai skuad Harimau Malaya malam ini bertemu Vietnam. Tekanan pasti dirasai oleh Dollah Salleh untuk memilih skuad yang berkualiti selepas perlawanan malam ini. Ketiadaan Gopinathan dan Aidil Zafuan sudah cukup memeningkan apatah lagi kedua pemain ini antara yang menonjol ketika di Piala Malaysia. Walaubagaimanapun, Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah yakin Harimau Malaya mampu melakukan sesuatu di Singapura. "Saya yakin persiapan yang dilakukan oleh Harimau Malaya mampu membuahkan hasil dan mungkin melakukan kejutan," katanya selepas menghadiri Kongres ke- 60 Persatuan Bola Sepak Kelantan.
Malaysia yang diundi dalam kumpulan B akan memulakan kempen Piala Suzuki bertemu Myanmar pada 23 November ini dan seterusnya berdepan skuad Gajah Perang, Thailand tiga hari kemudian.
Last Edit: Nov 16, 2014 21:52:37 GMT 8 by manjacat