Shah Alam: Persiapan skuad Harimau Muda B bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala AFC B-23 bulan depan terencat apabila tewas mengejut 0-1 kepada Fiji di Stadium UiTM Shah Alam, malam tadi.
Skuad bimbingan Razip Ismail yang diletakkan sekumpulan dengan jaguh Asia iaitu Jepun, Vietnam dan Macau kini dalam rangka persediaan terakhir nyata mempunyai banyak kelemahan yang perlu diperbaiki jika mahu ke pusingan akhir Piala AFC, dijadualkan berlangsung di Qatar dari 12 hingga 30 Januari tahun depan.
Selepas menjuarai Piala Emas Bangabandhu di Bangladesh baru-baru ini, prestasi pasukan B-22 negara semakin merosot apabila mengalami kekalahan kedua susulan tewas 0-1 kepada Indonesia.
Malaysia turun tanpa beberapa tonggak seperti Shahrul Azwari dan penyerang yang sedang meningkat naik S Kumaahran dengan Razip mempertaruhkan pemain simpanan bagi memberi peluang kepada mereka yang jarang diturunkan sebelum ini.
Fiji yang bakal beraksi pada pusingan akhir Piala Dunia B-21 memperoleh gol tunggal perlawanan menerusi tandukan Antonio Tuivuna pada minit ke-47.
Harimau Muda yang amat memerlukan jaringan penyamaan memasukkan S Kumaahran pada minit ke-70, tetapi perubahan itu tidak memberi sebarang kesan apabila benteng Fiji kental mempertahankan kelebihan tipis mereka hingga tamat 90 minit aksi sebenar.