Post by manjacat on Mar 31, 2015 9:05:58 GMT 8
KUALA LUMPUR: Bintang Akademi Fantasia 2013, Aisyah Aziz yang tinggi lampai menyukarkan beliau untuk mencari teman lelaki yang lebih tinggi darinya.
Ini kerana kebanyakan jejaka tempatan mempunyai ketinggian yang sama atau lebih rendah darinya.
Ketinggian 179 sentimeter miliknya itu menjadikan Aisyah kelihatan lebih menonjol, namun beliau bersyukur dengan kesihatan serta kurniaan Tuhan.
Bagi Aisyah, pengalaman sebagai individu yang tinggi mempunyai keunikannya tersendiri.
"Aisyah susah nak mencari teman lelaki yang setinggi Aisyah kerana orang-orang kita ini rendah. Jadi itulah kesukaran Aisyah sebab tinggi. Kadang kala hendak masuk atau keluar kereta pun terhantuk.
"Selain itu, Aisyah susah nak mencari seluar kerana Aisyah tidak boleh terus membelinya tanpa mencuba dahulu. Kalau tak kena gaya, nanti nampak senteng pula.
"Tambahan pula, kalau Aisyah mengenakan kasut tumit tinggi, orang akan tegur Aisyah sudah tinggi, takkan masih hendak pakai kasut tinggi lagi. Jadi Aisyah rasa kurang senang menggayakan kasut tumit tinggi kerana sering ditegur," kata Aisyah sambil tertawa kepada BH Plus.
Sementara itu, Aisyah menafikan yang beliau mempunyai hubungan istimewa dengan penyanyi dan komposer muda, Aizat Amdan kerana setakat ini mereka berdua lebih selesa berkawan.
Gadis kelahiran Singapura itu berpendapat bahawa khabar angin yang timbul hanyalah sekadar usikan rakan-rakan kepada Aisyah kerana beliau memuat naik gambar mereka sempena ulang tahun kelahiran Aizat.
Aisyah meluahkan perasaan teruja apabila hasratnya untuk berkolaborasi bersama Aizat berjaya dilaksanakan.
Aisyah sudah lama menyimpan impian untuk bekerjasama dengan komposer muda itu.
"Tiada apa-apa antara kami kerana kami hanya berkawan saja. Aizat adalah komposer kepada single terbaru saya berjudul Cinta Paling Sejati dan beliau sering memberikan nasihat kepada saya.
"Bekerjasama dengan Aizat juga satu peluang menarik yang memang saya nanti-nantikan. Saya berharap peminat suka dengan lagu ini kerana ianya lebih kurang seperti single saya sebelum ini," kata Aisyah.