Hulu Selangor: Seorang wanita ditemui dalam keadaan telentang di tempat duduk pemandu dengan tujuh kesan tikaman di dada, rusuk dan lengan kanan dipercayai dibunuh teman lelakinya di depan sebuah sekolah agama di Kuala Kubu Bharu (KKB), di sini, pagi tadi.
Difahamkan, mayat mangsa ditemui orang awam kira-kira 9 pagi yang melihat keadaan kereta itu mencurigakan dengan enjin masih hidup dan pintu bahagian pemandu terbuka sebelum memaklumkan kepada pihak polis.
Sumber polis berkata, sepasukan polis yang membuat pemeriksaan mendapati terdapat empat kesan tikaman pada dada mangsa, dua di rusuk kiri dan kanan serta satu lagi pada lengan tangan kiri mangsa.
Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki yang juga guru agama di Sekolah Rendah Agama KKB berusia 26 tahun dipercayai teman lelaki mangsa untuk membantu siasatan.
Berdasarkan soal siasat yang dijalankan terhadap suspek, lelaki itu mengaku membunuh mangsa yang juga janda anak empat itu selepas si mati sentiasa mendesaknya untuk berkahwin.
HULU SELANGOR 6 Mei - Akibat gagal mengawal emosi, seorang lelaki bertindak kejam menikam bertubi-tubi teman wanitanya hingga maut selepas berlaku pertengkaran di Kuala Kubu Bahru dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi, suspek yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah agama di sini bertindak menikam teman wanitanya, Nur Salina Nazir, 34, sebanyak tujuh kali di dalam kereta dipercayai selepas didesak untuk berkahwin.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden R. Supramaniam berkata, mangsa maut di tempat kejadian akibat ditikam menggunakan pisau di dada dan rusuknya.
Katanya, polis dimaklumkan oleh orang awam mengenai penemuan mayat mangsa dalam keadaan terlentang di tempat duduk pemandu dalam sebuah kereta Proton Wira yang diletakkan di kawasan lapang di hadapan sekolah tempat suspek bekerja.
“Sebaik sahaja pihak polis tiba di lokasi kejadian, pintu sebelah pemandu terbuka dengan keadaan enjin kereta dimatikan serta brek tangan ditarik.
“Mayat mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan gerakan mencari suspek dijalankan sebelum berjaya menahan suspek di rumahnya beberapa jam selepas kejadian,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Supramaniam memberitahu mangsa merupakan janda dan mempunyai empat orang anak berusia antara tujuh hingga 14 tahun.
Tambahnya, suspek yang masih bujang mengakui telah membunuh mangsa kerana sentiasa didesak untuk berkahwin.
“Soal siasat ke atas suspek masih dijalankan untuk mencari pisau yang digunakan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Sementara itu, abang mangsa, Nor Salizam Nazir, 40 ketika ditemui berkata, adik bongsunya itu dikatakan keluar dengan suspek untuk menemaninya menghantar barang namun Nur Salina tidak pulang ke rumah meskipun hari telah lewat malam.
“Bapa kami, Nazir Ramli, 60, cuba untuk menghubungi adik saya namun panggilan gagal namun kemudiannya, kami dimaklumkan tentang kejadian ini,” katanya.
Anak saudara mangsa, Ainaa Syafiqah Shamsudin, 24, berkata, mangsa akan melangsungkan perkahwinan bersama kekasihnya pada 6 Jun ini selepas dua tahun bercerai.
“Keluarga kami baru sekali sahaja bertemu dengan suspek pada bulan lalu untuk membincangkan mengenai perkahwinan mereka berdua.
“Persiapan untuk perkahwinan itu sudah hampir siap dan baju pengantin serta pelamin sudah pun ditempah,” ujarnya.
KUALA LUMPUR: Polis menjumpai sebilah pisau yang dipercayai digunakan seorang guru agama dalam kes bunuh seorang janda beranak empat di hadapan Sekolah Rendah Agama Kuala Kubu Baharu, Rabu lalu. Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam, berkata pisau berkenaan yang menjadi bukti kukuh dalam kes itu dijumpai di dalam Sungai Tua, Ulu Yam, dekat sini, kira-kira 12.30 tengah hari tadi.
"Operasi pencarian senjata itu disertai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Hulu Selangor serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Hulu Selangor selain bantuan Orang Asli," katanya. Beliau berkata, dengan penemuan bahan bukti itu, pihaknya yakin kes berkenaan telah selesai.
Dalam kejadian Rabu lalu, Nur Salina Nazir, 34, yang menjalankan perniagaan dalam talian dilapor mati dibunuh teman lelakinya di hadapan Sekolah Rendah Agama Kuala Kubu Baharu. Mayatnya ditemui dalam kereta miliknya dalam keadaan terlentang di bahagian tempat duduk pemandu serta mempunyai empat kesan tikaman di dada, rusuk kanan dan kiri serta lengan kiri. Susulan kejadian jam 9 pagi itu, seorang guru agama berusia 29 tahun diberkas di rumahnya di Taman Bukit Bujang, Kuala Kubu Baharu dan suspek mengaku telah membunuh mangsa kerana mangsa sering mendesak untuk berkahwin dengannya.