RIO DE JANEIRO: Sepanyol muncul negara juara yang kelima terkeluar daripada saingan pusingan awal selepas tewas 2-0 kepada Chile di Maracana awal pagi tadi.
Berikut lima sebab mengapa juara Piala Dunia 2010 dan Euro 2012 itu gagal menyerlah kali ini.
Masih mengharapkan pemain lama
Selepas tewas 5-1 kepada Belanda, pengurusnya Vicente del Bosque terpaksa menggugurkan pemain bintang Xavi Hernandez serta Gerard Pique dan digantikan dengan Pedro Rodriguez dan Javi Martinez. Walaupun ia dilihat untuk memperkukuhkan pasukan, ia sepatutnya dilakukan lebih awal. Koke, pemain tengah Atletico Madrid, yang penuh bertenaga dan semangat pula lewat ditampilkan dalam pasukan.
Keputusan terus memberi kepercayaan kepada penjaga gol, Iker Casillas terbukti satu kesilapan. Tambahan pula, kapten pasukan yang hebat sebelum ini bukan lagi pemain tetap untuk kelabnya Real Madrid, tetapi Del Bosque sepatutnya mempunyai banyak pilihan lain walaupun penjaga gol kedua, Victor Valdes cedera.
Pertahanan yang longgar
Jika dia dipersalahkan, Casillas juga mungkin akan menyalahkan barisan pertahanan yang sepatutnya mengawal dan melindunginya setiap kali kubu mereka diserang. Lagipun, kejayaan Sepanyol pada 2010 dan Euro 2012 banyak bergantung kepada kehebatan pertahanannya mengekang asakan lawan.
Inspirasi Carles Puyol tiada kali ini. Gandingan pertahanan tengah, Pique and Sergio Ramos amat cemerlang beberapa tahun lalu, tetapi gagal menyerlah kali ini. Keputusan menurunkan Javi Martinez pula terbukti gagal ketika menentang Chile. Kegagalan mengekang kepelbagaian formasi Belanda dan Chile menyebabkan Sepanyol dibolosi tujuh gol hanya dalam dua perlawanan.
Pemilihan Diego Costa
Apabila Del Bosque memujuk Diego Costa mewakili negara angkatnya dan mengenepikan negara asal Brazil, amat jelas bahawa bintang Atletico Madrid itu akan menjadi pemain dalam kesebelasan utama. Bagaimanapun, Sepanyol tidak membantu penyerang tengah itu menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan itu.
Dia seorang pemain yang memerlukan ruang setiap kali mendapat bola untuk merobek gol lawan, tetapi malangnya dia kelihatan seperti ‘dungu’ ketika berdepan dengan pertahanan Chile. Dia tidak selesa dalam posisi itu sehingga rakyat Brazil sendiri bersorak memarahinya kerana memilih bermain untuk Sepanyol.
Gagal berubah daripada tiki-taka
Sepanyol tersilap langkah kerana terlalu mempercayai sistem itu yang amat berjaya dalam banyak kejohanan lalu. Corak permainan pasukan La Roja digerakkan seperti cara permainan Barcelona sehingga mencipta banyak kejayaan di bawah pengurus Pep Guardiola.
Namun, kejatuhan Barcelona dan bagaimana pasukan Bayern Munich kendalian Guardiola diratah oleh Real Madrid dalam separuh akhir Liga Juara-juara baru-baru ini, memberi isyarat bahawa era kehebatan tiki-taka telah pun berakhir.
Ia terbukti apabila rentak permainan Chile yang memberi tekanan kepada Sepanyol, menyebabkan pemainnya gagal membuat hantaran tepat dan tidak mampu mengawal bola seperti ia melekat di kaki yang selama ini menjadi kehebatan sebenar Sepanyol.
Bermain di Amerika Selatan
Pasukan Eropah memang sukar untuk menang Piala Dunia di benua Amerika dan ia tidak pernah berlaku. Kejatuhan Sepanyol sebenarnya telah bermula di Maracana setahun lalu apabila tewas 3-0 kepada Brazil dalam perlawanan akhir Piala Konfederasi dan kemerosotan berterusan ketika tewas kepada Chile.
Setiap pasukan Amerika Selatan dalam kempen kali ini mendapat sokongan daripada peminat dari benua itu. Kekalahan 5-1 kepada Belanda, menyebabkan Sepanyol memerlukan kemenangan ketika menentang Chile, tetapi penonton di Maracana menyokong Chile sehingga menyebabkan mereka seolah-olah bertarung sebagai tuan rumah. - AFP