Post by manjacat on Aug 15, 2014 12:52:18 GMT 8
KUALA LUMPUR 13 Ogos - Motorola melancarkan telefon pintar terbaharunya bagi pasaran Malaysia yang dikenali sebagai Moto E berharga RM369 dan dijual secara dalam talian secara eksklusif oleh Lazada.
Pengarah Urusan Kanan Motorola, Marcus Frost berkata, model baharu itu diyakini dapat menarik minat dalam kalangan pembeli khususnya golongan muda yang sentiasa inginkan kelainan pada telefon pintar mereka.
Beliau berkata, keunikan Moto E terletak pada ciri-cirinya yang anti calar dan kalis air selain mempunyai keunikan lain seperti dua sim, pemproses `duol-core', sistem operasi Android terkini, kamera lima megapiksel, bateri tahan lasak sebanyak 1980mAh dan banyak lagi.
"Ditawarkan pada harga yang jauh lebih kompetitif berbanding telefon pintar seangkatan dengannya, Moto E pasti menjadi tarikan pengguna di Malaysia," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran telefon pintar itu di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Komersial Lazada Malaysia, Hans-Peter Ressel.
Menurut Frost, Moto E hanya dijual secara talian bagi membolehkan lebih ramai pengguna di Malaysia memiliki telefon pintar terbabit.
Sementara itu, Ressel melahirkan keyakinan pelancaran Moto E akan membantu pertumbuhan tiga digit syarikat pada tahun ini.
"Kita menjangkakan sambutan yang sangat baik daripada pembeli mengambil kira kelebihan yang terdapat pada Moto E berbanding telefon pintar jenama lain yang berada di pasaran," katanya.
Mengenai operasi Lazada, beliau berkata, syarikat yang menawarkan pelbagai barangan menerima pelawat antara 150,000 hingga 180,000 sehari dan jumlah tersebut dijangka terus meningkat mengambil kira kencenderungan rakyat Malaysia masa kini terhadap perniagaan dalam talian.
"Lazada menawarkan pelbagai produk untuk pilihan pengguna daripada barangan keperluan rumah, hiasan dalaman, barangan elektronik termasuk tablet dan telefon pintar serta banyak lagi," katanya.
© Utusan Melayu (M) Bhd