Ya’la bin Murrah radhiallahu 'anh menceritakan bahawa mereka bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sebuah perjalanan sehingga sampailah mereka pada jalan yang sempit. Waktu solat tiba sedangkan langit dalam keadaan hujan dan keadaan tanah bertakungan air (atau becak).
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kemudian azan di atas kendaraannya (unta), lalu baginda iqamah dan maju ke depan. Setelah itu baginda solat (berjamaah) bersama para sahabat dengan menunduk, baginda menjadikan sujudnya lebih rendah berbanding rukuk. [Sunan al-Tirmizi, no: 376/411]
Pengajaran hadis:
1 - Dibolehkan solat duduk di atas kenderaan jika tidak dapat solat di atas tanah seperti biasa.
2 - Solat yang dilaksanakan oleh Rasulullah dan para sahabat dalam hadis di atas adalah solat fardhu, kerana ia dimulakan dengan azan dan iqamat, serta dilaksanakan secara berjamaah. Jika solat sunat, tidak ada azan, iqamat dan dilaksanakan secara sendirian.
3 - Keadaan yang menyebabkan mereka solat duduk di atas kenderaan bukanlah darurat, tetapi sekadar kesukaran dalam bentuk hari hujan (atau sudah hujan) dan tanah yang becak.
4 - Oleh itu boleh solat duduk bagi mereka yang mengalami kesukaran solat seperti biasa. Contohnya yang sakit atau dalam perjalanan (kapal terbang, keretapi, bas, kereta). Solat seperti ini adalah sah, ia bukanlah solat menghormati waktu yang perlu diqadha semula.
Namun hendaklah dipastikan kesukaran itu benar-benar wujud, bukan kerana kemalasan atau mengambil ringan hukum agama.
5 - Dalam riwayat di atas, tidak pula dinyatakan Rasulullah dan para sahabat menghadap kiblat. Bahkan jika berada dalam lorong yang sempit, di tambah dengan keadaan bergerak, tidak ada kebebasan untuk berpusing ke aras kiblat.
Oleh itu hendaklah berusaha menghadap kiblat. Jika tidak mampu, maka tidak mengapa.
6 - Cara solat di atas kenderaan, Qiyam = duduk tegak, tangan di dada/perut. Rukuk = menundukkan kepala dan bahu sedikit. Sujud = menundukkan kepala dan bahu sebanyak yang boleh. Duduk di antara dua sujud dan duduk membaca tasyahud = duduk tegak, tangan di peha.
7- Setelah mengemukakan hadis ini, Imam al-Tirmizi mengisyaratkan kelemahannya. Syaikh al-Albani juga menerangkan sanadnya dha'if. Namun berkata Imam al-Tirmizi di akhirnya:
"Hadis ini diamalkan oleh para ahli ilmu dan ia merupakan pendapat yang dipegang oleh Ahmad dan Ishaq."
8 - Berdasarkan poin ketujuh di atas, bukan semua hadis dhaif ditolak. Sebahagian hadis dhaif tetap diamalkan. Namun diterima atau ditolak, diamalkan atau tidak, hendaklah dirujuk kepada para ahli hadis. Ia bukan lesen untuk menerima semua hadis yang disampaikan oleh para ustaz dan ustazah di Malaysia. Ini kerana jumlah ustaz dan ustazah amat ramai sementara jumlah ahli hadis amat terpencil.