Post by helija on Nov 5, 2014 22:34:12 GMT 8
Soalan: Kini ramai yang dikatakan menganut pluralisme agama. Apakah kedudukan akidah mereka ini? Mereka masih Islam ataupun bagaimana?
Jawapan Dr MAZA:
Adakah ‘pluralisme agama’ ini kufur atau tidak? Sebenarnya, ini tidak dapat dijawab melainkan kita terlebih dahulu jelas apakah yang seseorang itu faham dari pluralism agama atau ‘religious pluralism’ tersebut. Ada beberapa asas yang mesti difahami;
1. Jika dia memahami pluralisme itu menganggap semua agama itu sama nilaian di sisi Tuhan, kebenaran itu dikongsi secara bersama atau kebenaran itu relative maka itu pastinya bertentangan dengan akidah Islam dan membawa kepada kekufuran. Ini bererti kefahaman pluralisme ini menyamai kefahaman relativisme.
2. Namun, jika dia menganggap bahawa pluralisme bererti mengiktiraf kepelbagaian agama, cuba memahami lebih mendalam antara satu sama lain dan bersikap bertolak ansur tanpa menggadaikan prinsip-prinsip akidah Islam terutamanya hanya Islam sebagai agama yang diterima di sisi Allah pada masa ini, maka itu tidak membawa kepada kekufuran. Di sini bererti, kefahaman pluralisme ini tidak sama dengan relativisme yang menganggap kebenaran adalah sesuatu yang relative.
3. Isu pluralisme ini bergantung kepada tafsiran pihak yang berbicara. Setiap pihak mempunyai kefahaman yang tersendiri tentang hal ini. Diana L. Eck (Harvard University) menyatakan pluralisme tidak sama dengan relativisme. Pluralisme tidak menuntut seseorang meninggal identiti dan tanggungjawab. Juga tidak semesti bersetuju dengan semua yang diperkatakan oleh pihak yang lain. Namun bersetuju untuk berbincang, memberi dan mendengar pandangan pihak lain. Katanya: “pluralism is not relativism, but the encounter of commitments. The new paradigm of pluralism does not require us to leave our identities and our commitments behind, for pluralism is the encounter of commitments. It means holding our deepest differences, even our religious differences, not in isolation, but in relationship to one another..pluralism is based on dialogue. The language of pluralism is that of dialogue and encounter, give and take, criticism and self-criticism. Dialogue means both speaking and listening, and that process reveals both common understandings and real differences. Dialogue does not mean everyone at the “table” will agree with one another. Pluralism involves the commitment to being at the table with one’s commitments”
4. Apa yang penting bukan istilah-istilah ini tetapi kepercayaan atau akidah seseorang muslim berkaitan hal ini. Jika dia percaya semua agama adalah berkongsi kebenaran yang sama, atau kebenaran itu sesuatu yang subjektif, boleh dilihat pada dimensi yang berbeza, maka itu pluralisme yang kufur. Jika dia menganggap hanya Islam agama wahyu yang diiktiraf di sisi Allah, namun kepelbagaian agama adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, manusia mesti belajar memahami antara satu sama lain, berbincang dengan cara yang baik, sudi untuk berdialog dan menilai sikap dan tindakan, maka ini tidak kufur. Bahkan itulah yang dilaksanakan oleh sarjana-sarjana Islam yang terbilang.
5. Seorang muslim wajib beriktikad bahawa hanya Islam yang diterima di sisi Allah. Islam itu agama Nabi Muhammad s.a.w dan seluruh para nabi sebelum baginda. Firman Allah
وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
(maksudnya): “Dan sesiapa yang mencari selain Islam sebagai agamanya, maka sama sekali tidak diterima daripadanya dan dia di akhirat nanti termasuk dalam kalangan mereka yang rugi”. (Surah Ali-‘Imran, ayat 85).
Maka, muslim tidak percaya semua agama sama di sisi Allah di sudut kebenaran dan wahyu. Ini soal akidah. Namun bukanlah bererti Islam membezakan manusia di sudut keadilan dan hak kemanusiaan.
6. Pun begitu, Islam mengiktiraf kewujudan agama lain dan hak mereka untuk berpegang dengan apa yang mereka yakin. Maka Islam menegaskan:
لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ
(maksudnya) “Tiada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)” (Surah al-Baqarah ayat 256).
Ayat ini diturunkan kepada golongan Ansar di mana dalam kalangan mereka mempunyai anak-anak yang telah diyahudi atau dikristiankan. Apabila Islam datang, mereka ingin memaksa anak-anak mereka menganut Islam, maka Allah melarang mereka berbuat demikian sehingga mereka sendiri membuat pilihan. Lalu diturunkan firmanNya tadi. Kata Ibn ‘Abbas:
كَانَتِ الْمَرْأَةُ تَكُونُ مِقْلَاتًا فَتَجْعَلُ عَلَى نَفْسِهَا إِنْ عَاشَ لَهَا وَلَدٌ أَنْ تُهَوِّدَهُ، فَلَمَّا أُجْلِيَتْ بَنُو النَّضِيرِ كَانَ فِيهِمْ مِنْ أَبْنَاءِ الْأَنْصَارِ فَقَالُوا: لَا نَدَعُ أَبْنَاءَنَا، فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: {لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الغَيِّ}
“Ada seorang wanita yang tidak dapat mengandung. Dia bernazar jika dia dapat anak, dia akan jadikannya beragama yahudi. Apabila Yahudi Bani Nadir dihalau keluar dari Madinah, ada dalam kalangan mereka anak-anak golongan Ansar. Kata ibubapa mereka: “Kami tidak akan biarkan anak-anak kami mengikut mereka, maka Allah turunkan ayat: “ (Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani). Demikianlah ajaran Islam. Jika ibubapa pun tidak boleh memaksa agama anak sendiri, inikan pula orang lain.
7. Islam tidak memusuhi pengikut agama lain hanya kerana perbezaan agama. Bahkan muslim disuruh berbuat baik kepada mereka yang tidak menzahirkan permusuhan kepada Islam. Firman Allah
لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (8) إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَى إِخْرَاجِكُمْ أَنْ تَوَلَّوْهُمْ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
(maksudnya): “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”. (Surah al-Mumtahanah, ayat 8-9).
8. Islam mengiktiraf kebaikan ataupun nilai tertentu yang ada pada agama lain dan pengikutnya. Sebab itu tidak pelik Islam mengiktiraf halalnya sembelihan Ahlul Kitab (Yahudi dan Kristian) dan keizinan berkahwin dengan wanita mereka seperti yang disebut dalam Surah al-Maidah ayat 5. Demikian Islam juga mengiktiraf kebaikan yang ada pada golongan paderi Kristian. Firman Allah:
وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُمْ مَوَدَّةً لِلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَى ذَلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ
(maksudnya) “..demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang paling dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini orang-orang Nasrani" yang demikian itu, disebabkan antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak sombong” (Surah al-Maidah: 82)
9. Islam melarang penganutnya menzalimi penganut agama lain. Perbezaan tidak boleh membawa kepada penindasan dan kezaliman. Firman Allah:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
(maksudnya) : “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Surah al-Maidah: ayat 8).
10. Islam menggalakkan diolag dalam suasana yang harmoni dan baik. Firman Allah:
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
(maksudnya). “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk (Surah al-Nahl: 125)
sos kicap