SHAH ALAM: Media Prima, pemilik stesen televisyen termasuk TV3 dan NTV7 menawarkan pakej persaraan awal untuk kakitangannya setelah keuntungan syarikat itu terus merosot.
Kakitangan syarikat itu ditawarkan pakej pemisahan sukarela dengan pampasan berasaskan jumlah tahun bekerja dan gaji bulanan mereka.
Tawaran itu sudahpun diumumkan dan kakitangan TV3, NTV7 dan TV8 dan TV9 mempunyai sehingga 21 November untuk menerima atau menolak tawaran itu.
Media Prima juga memiliki stesen radio Fly FM, Hot FM dan One FM.
Ia juga memiliki hampir keseluruhan ekuiti dalam akhbar Kumpulan New Straits Times yang menerbitkan akhbar bahasa Inggeris itu selain daripada Berita Harian dan Harian Metro.
Media Prima mendakwa tawaran untuk kakitangan itu adalah untuk memperkasakan operasi syarikat dalam keadaan pasaran yang mencabar.
Ia juga berharap skim pemisahan sukarela itu akan mengatasi masalah kelebihan tenaga kerja di empat stesen telivisyen itu.
Mereka yang menerima tawaran itu akan dibayar pampasan merangkumi satu setengah kali ganda jumlah tahun perkhidmatan didarab gaji bulanan mereka.
Media Prima Bhd mencatat keuntungan sebelum cukai RM56.84 juta dalam suku ketiga tahun kewangan 2014 yang berakhir September lalu.
Jumlah itu jauh lebih kecil daripada RM85.49 juta yang dicatat dalam tempoh sama tahun lalu.