KUALA LUMPUR – Pemberian subsidi petrol kepada rakyat perlu digantikan dengan pemberian wang tunai secara berperingkat-peringkat bagi membantu golongan yang memerlukan.
Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah Nasional Bhd., Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, sistem subsidi minyak yang dilaksanakan kerajaan ketika ini hanya menguntungkan beberapa pihak berbanding golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Sebagai contoh, subsidi petrol lebih banyak dimanfaatkan oleh golongan berpendapatan tinggi kerana mereka menggunakan kuantiti petrol yang lebih banyak berbanding golongan pertengahan.
“Justeru, kami melihat langkah terbaik untuk kerajaan membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana adalah dengan memberikan subsidi dalam bentuk tunai secara terus kepada mereka seperti pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).