Kuantan: Pengunjung pusat beli-belah Kuantan Parade, di sini, gempar apabila seorang wanita membuat ‘drama’ dengan cuba membunuh diri selepas dipercayai merajuk dengan suaminya, kelmarin.
Dalam kejadian jam 3 petang, wanita berusia 40 tahun terbabit ke tingkat atas pusat beli-belah berkenaan sebelum ke tempat letak kereta dengan perasaan kecewa.
Difahamkan, pada masa sama, suami wanita terbabit yang berusia 45 tahun mengekori dan cuba memujuk, namun mangsa tidak mengendahkannya.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, suami mangsa terpaksa mengambil masa hampir setengah jam untuk memujuk wanita terbabit.
“Siasatan awal mendapati, mangsa dikatakan duduk di bahagian tepi tempat letak kereta pusat beli-belah itu dengan niat mahu membunuh diri dengan cara terjun dari tingkat empat bangunan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Beliau berkata, mangsa berjaya dipujuk suaminya setengah jam kemudian sebelum membuat laporan di Balai Polis Kuantan.
“Siasatan mendapati, mangsa dipercayai mengalami masalah mental sejak beberapa bulan lalu,” katanya.
Katanya, kes itu dianggap selesai dan tidak membabitkan sebarang kecederaan, manakala mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk menjalani pemeriksaan mental. ─