Sebelum ini, kita telah dikejutkan dengan berita penahanan penyanyi terkenal kumpulan Slam, Zamani atas kes ketagihan dadah. Melalui laporan, Zamani mengakui telah terbabit dengan najis dadah sejak sepuluh tahun lepas. Berikutan penangkapannya, satu video yang menunjukkan diri Zamani dalam keadaan bergari menyanyikan lagu hits Slam iaitu Gerimis Mengundang telah menjadi viral di media sosial.
Bagaimanapun, rakaman video itu yang didakwa dibuat oleh seorang anggota polis mendapat bantahan orang ramai.
Bantahan itu menggunakan hashtag #BantahTindakanPolisKpdZamani mendapat sokongan orang ramai yang beranggapan ia satu tindakan melampau. Mereka menyarankan agar pegawai polis yang merakam dan menyebarkan rakaman itu dikenakan tindakan kerana mengaibkan Zamani.
Setakat ini, siapa pegawai polis yang terbabit masih belum diketahui namun mungkin juga beliau tidak menjangka reaksi sebegini dari orang ramai. Diharap pihak berkenaan lebih peka terhadap sensitiviti orang ramai terhadap Zamani yang masih punya ramai peminat sehingga ke hari ini. Di zaman kemasyhurannya, populariti kumpulan Slam sampai ke negara Indonesia dan menyamai popuariti kumpulan Search. Apa pendapat anda?
KUALA LUMPUR 23 Jan. – Video penyanyi popular, Zamani Ibrahim, 43, sedang menyanyi dengan tangan bergari yang tersebar luas sehingga menimbulkan kritikan keras kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipercayai disebarkan tanpa sebarang niat buruk.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat, video berkenaan pada mulanya dirakam oleh salah seorang anggota polis atas dasar peminat terhadap penyanyi itu, namun rakaman itu mula disebar meluas setelah video itu diperlihatkan kepada pihak ketiga. Beliau berkata, perkara itu diketahui selepas pertemuan dengan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairuddin Saat di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, hari ini.
Menurutnya, beliau dimaklumkan, video terbabit dirakam oleh anggota polis namun malangnya pihak ketiga yang telah menyebarkan video itu tanpa sebarang niat. “Kami menerima penjelasan polis dan dimaklumkan rakaman itu dibuat atas dasar peminat dengan penyanyi dan anggota polis itu telah berkongsi dengan pihak ketiga.
“Kes ini masih dalam siasatan polis dan biarlah mereka melakukan siasatan terbabit. Kes ini disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Rakaman berdurasi 1.22 minit yang memaparkan Zamani sedang menyanyikan lagu popularnya, Gerimis Mengundang dalam keadaan tangan bergari, mendapat kecaman masyarakat selepas video tersebut tersebar dan menjadi viral di internet dan laman sosial.
Ditanya, adakah Zamani dalam keadaan sedar ketika video terbabit dirakam, Khairul Anwar menjelaskan, kemungkinan Zamani mengerti situasi pada masa itu. “Saya tidak tahu sama ada dia rela atau tidak menyanyi dan dirakam, namun persepsi orang ramai timbul apabila melihat dia menyanyi dalam keadaan bergari,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Khairul Anwar menjelaskan, pihaknya sedia melantik peguam selepas beberapa perkara termasuk proses dokumentasi selesai.
“Pertemuan dengan polis hari ini juga memberi peluang kepada Zamani untuk mendapatkan akses bagi bertemu dengan keluarga, pengurus dan peguam. Itu adalah perkara utama baginya ketika ini,” katanya.
Tambah Khairul, beliau telah juga dimaklumkan bahawa Zamani berada dalam keadaan sihat serta tidak sabar untuk bertemu dengan ahli keluarga dan pengurusnya. Katanya, pihaknya juga akan mengambil maklum setiap permintaan keluarga Zamani namun berharap isu rakaman video itu dapat diselesaikan secara baik supaya tidak menjejaskan reputasi kedua-dua pihak.