Kuala Lumpur: Datuk gatal. Itu gelaran yang layak untuk seorang lelaki berumur 59 tahun yang mengajak seorang remaja berumur 15 tahun berkahwin dalam kejadian di Wangsa Maju.
Difahamkan, mangsa berusia 15 tahun dan masih bersekolah itu berkenalan dengan lelaki yang layak dipanggil datuk itu secara tidak sengaja di kawasan perumahannya. Mangsa yang mahu dikenali sebagai Sarah berkata, dalam pertemuan yang tidak disengajakan itu, lelaki berkenaan disapanya secara sopan kerana menganggap dia sebagai datuk manakala lelaki itu juga menggunakan gelaran ‘anak’ untuk bercakap dengannya.
Katanya, lelaki itu sering menghubunginya untuk bertanya khabar dan hubungan mereka berterusan sebagai datuk dan cucu, malah ibu bapanya tahu mengenai lelaki berkenaan yang sering melawatnya pada hujung minggu.
“Bagaimanapun, bulan lalu, lelaki itu menyatakan mempunyai perasaan cinta dan berniat untuk berkahwin dengan saya. Saya yang terkejut dengan pengakuan itu mula menjauhkan diri daripadanya.
“Namun, lelaki terbabit tetap menghubungi saya setiap hari dan memaksa saya berkahwin dengannya, malah mengugut membunuh diri jika enggan berjumpa dengannya,” katanya kepada Harian Metro.