SHAH ALAM 16 Feb. – Awas kepada mereka yang suka melepak hingga awal pagi di restoran 24 jam.
Anda mungkin menjadi mangsa samun sekumpulan lelaki yang menjadikan golongan tersebut sebagai sasaran.
Kumpulan yang terdiri daripada lima hingga enam orang lelaki berusia bawah 30 tahun itu sejak kebelakangan ini bergiat aktif di sekitar Sri Muda, Alam Megah dan Kota Kemuning di sini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, kumpulan penjenayah tersebut menggunakan kereta jenis Proton Waja berwarna perak atau Perodua Myvi gelap ketika menyamun.
“Mereka (penjenayah) biasanya mencari mangsa antara pukul 1 hingga 4 pagi di restoran 24 jam terutama semasa ada siaran langsung bola sepak di televisyen.
“Sasaran mereka adalah pelanggan berumur bawah 40 tahun termasuk pelajar universiti,” katanya di sini semalam.
Kumpulan sama juga dilaporkan melakukan kegiatan samun dengan melanggar kenderaan mangsa dari belakang.
Kebiasaannya yang menjadi mangsa adalah mereka yang memandu atau menunggang kenderaan berseorangan.