hahaha. sampai dah 3 kali rejek order, mane buleh tahan...
Kuala Lumpur: Bukan saja tidak membayar makanan yang dipesan, sekumpulan lelaki bertindak samseng apabila merosakkan pelbagai peralatan di sebuah restoran di Taman Danau Kota, Setapak di sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 2 petang, kumpulan suspek membabitkan lima orang berusia 20-an termasuk dua wanita.
Menurut pengurus restoran, Jowhar Ali Mk Mohamed Ishack, 48, sebelum kejadian pekerjanya sudah menunaikan tiga kali permintaan seorang suspek supaya menyediakan mi tidak pedas.
“Namun, dia masih lagi tidak berpuas hati dan mengatakan semua mi itu pedas sebelum meminta lagi buat kali keempat, menyebabkan pekerja saya enggan memenuhi permintaan itu,” katanya.
Menurutnya, semua suspek datang ke restoran itu sejak dari jam 11 pagi dan duduk di meja paling hadapan.
mujur ada porem sebelah dapat lebih gambar dan berita.
JOWHAR ALI MOHAMED ISHACK menunjukkan peti simpanan air yang dipecahkan sekumpulan remaja yang bertindak liar dalam kejadian di restorannya di Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur, semalam. – Utusan/FARIZ RUSADIO
KUALA LUMPUR 22 Feb. – Seorang pengurus sebuah restoran terkenal di ibu negara kerugian kira-kira RM50,000 selepas sekumpulan remaja merosakkan sebahagian besar peralatan di premis cawangannya di Danau Niaga, Taman Danau Kota, Setapak di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, kumpulan remaja yang terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita itu bertindak membaling kerusi dan memecahkan pelbagai peralatan antaranya peti sejuk, mesin juruwang, komputer serta cermin rak makanan di premis itu menggunakan besi.
Pemilik restoran 24 jam itu, Jowhar Ali Mohamed Ishack mendakwa, kejadian bermula apabila kumpulan remaja tersebut tidak berpuas hati setelah pekerjanya meminta mereka supaya membuat pembayaran sebelum beredar dari premis tersebut.
Bagaimanapun, dakwanya, salah seorang daripada remaja terbabit tiba-tiba marah dan memanggil empat rakannya yang sudah berada di kereta masuk semula ke dalam restoran sambil membawa sebatang besi.
“Pekerja saya merayu supaya mereka tidak rosakkan restoran tetapi rayuan itu tidak dihiraukan dan mereka terus memecahkan peralatan di sini.
“Mereka turut mengugut mahu mencederakan pekerja saya jika menghalang perbuatan mereka,” dakwanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambah Jowhar lagi, kumpulan remaja terbabit bertindak melarikan diri selepas salah seorang pekerjanya menjerit memberitahu telah menghubungi pihak polis.
Katanya, berikutan itu, Jowhar seterusnya membuat laporan di Balai Polis Setapak kira-kira pukul 3.22 petang.
“Ini merupakan kejadian pertama selepas dua tahun restoran cawangan saya beroperasi di sini,” ujarnya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan A. Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Menurut Asmadi, pihaknya masih memburu kumpulan remaja terbabit.
“Siasatan masih dijalankan dan kita masih meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti suspek,” katanya.