Post by manjacat on Mar 20, 2015 8:02:18 GMT 8
KUALA LUMPUR: Pernah dikaitkan bercinta dengan rakan gandingan dalam I Love You Mr Arrogant, Azlee Khairi, Zara Zya kini berdepan pula dengan cerita bahawa dia sebenarnya mencintai kaum sejenis.
Dalam erti kata lain, Zara seorang lesbian atau terma popular yang digunakan iaitu 'cat dinding'. Diajukan persoalan ini, Zara hanya mampu tergelak kerana ia sebenarnya sudah lama dibangkitkan tetapi enggan mengambil pusing cerita sebegitu.
"Saya rasa modal cerita sebegini sudah lapuk apabila melihat saya tidak mempunyai kekasih macam-macam orang cuba reka cerita. Saya masih pencinta lelaki dan waras untuk berfikir perkara yang hakiki.
"Sebelum ini pun hanya kerana saya mempunyai pengurus yang berperwatakan tomboi, ada pula yang cakap saya mempunyai hubungan dengannya. Saya sendiri tak tahu macam mana isu ini boleh timbul," katanya.
Setakat ini, Zara menjelaskan di masih solo.
"Saya masih belum ada kekasih. Umur pun sudah 30 tahun. Tunggu juga mana-mana lelaki nak datang meminang. Tapi sejujurnya saya tak mencari. Tak fikir langsung perkara itu saat ini. Saya percaya jodoh akan datang sendiri.
"Kalau saya ke acara hiburan tertentu pun bukan untuk mencari jodoh atau menggatal. Saya nak cari duit. Saya nak beli rumah sendiri kerana sekarang ini masih menyewa," katanya.
Tahun lalu, nama Zara meledak apabila namanya memenangi anugerah Artis Baharu Wanita, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2013 selain anugerah Meletop ERA 2014 menerusi kategori Pelakon Baru dan Top Top Meletop (Wanita).
Bagaimanapun momentun Zara untuk terus bertahan dalam ABPBH 2014 bagi kategori Pelakon TV Wanita terutamanya menemui kegagalan apabila namanya tidak dicalonkan.
Bagi Zara beliau melihat semua itu sebagai putaran hidup yang harus diterima dengan hati terbuka.
Pelakon Ayda Jebat kini dilihat mencuri tumpuan seperti mana diraihnya sebelum ini.
Ayda sendiri seakan mengikut jejak apabila memenangi dua kategori yang sama dimenangi di Anugerah Meletop ERA. Artis Baharu Wanita, ABPBH 2014 juga diramal dimenangi Ayda juga.
"Terkejut juga pada mulanya nama saya tak bolos di ABPBH 2014. Tapi lama-lama saya melihatnya sebagai sesuatu yang normal. Lumrah hidup manusia mahupun artis bukan selama-lamanya kita akan ada di puncak dan disukai.
"Bagilah peluang kepada artis lain. Tahun lalu pun ada artis yang akan berasakan hanya asyik-asyik saya saja yang menang. Normallah kerana ia umpama graf turun naik. Saya boleh cuba tahun depan dan tahun ini saya hadir sebagai penyampai trofi pula," katanya yang sebelum ini cukup popular dengan drama I Love You Mr Arrogant di samping Azlee Khairi.
Tidak dicalonkan di ABPBH 2014 bagi Zara tidak pernah membuatkan dirinya gentar apabila mempersoalkan diri beliau sudah tidak lagi popular. Bagi Zara, soal popular atau tidak itu terlalu subjektif.
"Saya rasa nama saya masih popular. Drama yang saya lakonkan baru-baru ini seperti Zahira dan Delina masih ditonton ramai serta jadi sebutan. Saya pun baru saja selesai penggambaran drama Dan Calonnya Adalah musim kedua bergandingan dengan Aaron Aziz untuk portal Tonton
"ABPBH jelas memberi impak yang besar dalam kerjaya seni saya. Orang persoal atau mengata pun bererti orang masih hiraukan kehadiran saya. Alhamdulillah rezeki saya tak putus dan saya mahu terus habis-habisan berkongsi bakat pada tahun ini dan seterusnya," katanya.
Selain drama Dan Calonnya Adalah musim kedua, Zara juga akan muncul dengan drama Hidayahmu Ramadan untuk slot Samarinda TV3 sempena Ramadan nanti.