ANGGOTA polis membawa sembilan individu termasuk beberapa remaja ke Mahkamah Majistret, pagi ini bagi membantu siasatan kes dua pelajar tingkatan tiga dirogol 38 orang berusia 15 hingga 40-an dalam kejadian pada 20 Mei lalu di Ketereh. - Foto Zaman Huri Isa
KES ROGOL: SUSPEK KE-15 DITAHAN POLIS: Seorang pelajar berusia 17 tahun, suspek ke-15 ditahan polis berhubung kes dua remaja perempuan yang didakwa dirogol 38 lelaki dalam kejadian di sebuah rumah kosong di Ketereh, di sini, minggu lalu.
Suspek ditahan di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Jenereh Bongkok, Pulai Chondong, Machang, pada jam 3.45 pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Odiman berkata, suspek berasal dari Kampung Bonggol Chicha, Kok Lanas, di sini, adalah pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah di Kota Bharu.
Suspek dibawa ke mahkamah pada jam 11 pagi semalam untuk mendapatkan perintah tahanan reman di hadapan Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen dan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dengan penahanan suspek menjadikan jumlah tangkapan keseluruhan setakat ini seramai 15 orang.