SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Sebahagian siling bumbung stesen LRT Masjid Jamek dilaporkan runtuh, petang tadi.
Melalui beberapa foto yang diperolehi dari Twitter, kawasan berkenaan sudah ditutup dari kegunaan orang ramai.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Sementara itu, memetik laporan Bernama, Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) mengesahkan insiden tersebut.
Pengurus Kanan Prasarana (Komunikasi dan Hal Ehwal Media) Azhar Ghazali berkata, dalam kejadian 2.10 petang itu, struktur siling di Platform 1 bagi laluan menghala ke Kelana Jaya, dipercayai runtuh secara tiba-tiba.
Bagaimanapun, katanya operasi perjalanan pengguna LRT kembali pulih seperti biasa selepas itu.
"Tiada penumpang ketika kejadian itu. Punca kejadian masih disiasat," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Azhar berkata kerja-kerja pembersihan di kawasan runtuhan siling itu selesai kira-kira 4.45 petang tadi.
Last Edit: Mar 23, 2015 20:59:07 GMT 8 by manjacat