Post by manjacat on Mar 30, 2015 20:16:16 GMT 8
Perkhidmatan monorel dihentikan sementara berikutan tayar sebuah gerabak perkhidmatan itu terbakar dalam kejadian di Stesen Titiwangsa pagi ini.
Ketua Pegawai Operasi Bomba Kuala Lumpur, Shamsol Maarif Saibani berkata pihaknya menerima panggilan pukul 8.52 pagi tentang kebakaran itu dan tiba di tempat kejadian kira-kira lima minit kemudian.
Beliau berkata sebaik tiba, kesemua penumpang diarahkan keluar dan pihak pengendali monorel diarahkan mengalihkan gerabak yang terbakar ke satu tempat jauh dari bangunan.
"Sekarang operasi memadam masih dijalankan," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata 22 anggota dan tiga jentera dikejarkan ke tempat kejadian.
Sementara itu, ramai yang menuju ke tempat kerja tersangkut akibat kebakaran itu.
Ia bukan sahaja menjejaskan mereka yang menggunakan monorel, malah pemandu yang biasanya melalui jalan di kawasan berkenaan turut mengalami kesesakan sehingga terdapat yang lewat sampai ke pejabat.
"Saya tersekat di sini lebih sejam sejak 9.30 pagi. Tak boleh bergerak. Jalan ditutup. Kami terpaksa menggunakan lorong kecil di sebelah kiri untuk meneruskan perjalanan. Saya boleh nampak, bomba cuba memadamkan kebakaran," kata seorang pemandu, Adnan Jahaya, 54, yang mahu menghala ke Jalan Tun Razak.
Orang ramai juga kelihatan menutup hidung bagi mengelak bau asap kebakaran di sekitar stesen bertingkat tersebut.
Seorang pelajar Nur Athirah, 23, berkata dia lewat untuk janji-temunya ekoran kelewatan bapanya bagi mengambilnya di stesen itu.
"Lihat keadaan trafik ini, ia teruk. Tetapi saya lega tiada siapa yang cedera. Saya berada di stesen ini apabila kebakaran berlaku dan anggota bomba sungguh cekap mengawal api.
"Mereka mampu memadam kebakaran dalam masa kira-kira 30 minit," katanya sambil mengeluarkan telefon bimbitnya mengambil gambar koc yang terbakar.
Lalu lintas di sekitar stesen monorel Titiwangsa terhenti disebabkan kebakaran pagi tadi. – Gambar Twitter Bomba, 30 Mac, 2015.Lalu lintas di sekitar stesen monorel Titiwangsa terhenti disebabkan kebakaran pagi tadi. – Gambar Twitter Bomba, 30 Mac, 2015.Nava Amuthan, 24, berkata dia dalam perjalanan untuk temuduga dan terpaksa menunda janji-temunya ke hari lain kerana tersangkut di stesen berkenaan.
"Saya naik tren dari Bandar Tasik Selatan dan apabila saya turun di stesen Titiwangsa, saya mendapat tahu mengenai kebakaran. Saya dapat melihat para pegawai (anggota bomba, polis dan polis trafik) bertungkus lumus mengawal keadaan," katanya.
Seorang pesara, Ahmad, 61, berkata anggota bomba dapat memadam kebakaran dalam masa kira-kira setengah jam.
"Saya nak pergi makan di warung berhampiran bila saya terdengar bunyi siren. Saya lalu pergi ke kawasan stesen bas untuk melihat apa yang berlaku dan saya dapat lihat anggota bomba sedang cuba memadam kebakaran. Dalam masa setengah jam sahaja, api dapat dipadam. Saya kagum dengan kecekapan mereka," katanya.
Keadaan kesesakan mula beransur pulih sekitar 11 pagi, kira-kira sejam selepas api dipadam.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Zahari Mohamad berkata daripada maklumat awal, kemungkinan kebakaran berlaku akibat geseran tayar dengan rel.
"Pihak bomba mendapati banyak asap dalam gerabak dan api dipadam dari arah bawah ke atas," katanya.
Selain kebakaran, perkhidmatan monorel turut ditangguh ekoran sebuah lagi tren empat gerabak terdampar antara stesen Imbi dan Bukit Bintang berikutan masalah teknikal.
Namun tren penyelamat telah dihantar ke tempat kejadian untuk menolak tren yang tersangkut itu ke stesen Imbi sebelum penumpang dibenarkan turun. – Bernama, 30 Mac, 2015.