Post by manjacat on Apr 2, 2015 7:46:41 GMT 8
KUALA LUMPUR: Sepatutnya September tahun lalu, pelakon baru meningkat naik, Ezzaty Abdullah sudah bergelar raja sehari. Namun sudah suratan, apa yang dirancang itu hanya tinggal kenangan.
Perkenalan selama sembilan bulan berakhir begitu sahaja. Pernah dirisik jejaka berkenaan pada Februari tahun lalu selepas dua minggu berkenalan, Ezzaty bagaimanapun melihat sudah tertulis tiada jodoh antara mereka.
Malah Ezzaty menjelaskan pada satu tahap menghormati keputusan bekas kekasihnya, dia pernah memutuskan untuk berhenti berlakon. Bahkan lebih teruk bekas kekasihnya yang mempunyai kata laluan akaun Instagram turut bertindak memadamnya.
Akhirnya Ezzaty terpaksa membuka semula akaun baru untuk laman bergambar popular berkenaan. Kepada BH Online, pelakon drama Delina di TV3 itu berkongsi luahan hatinya.
"Ikutkan keputusan nak berhenti berlakon itu saya tak rela sebenarnya. Tapi saya ikut saja kerana menghormati keputusannya. Tapi semua itu tak terjadi kerana kami sudah tidak lagi bersama. Selepas ini dengan siapa yang akan saya kahwini perlu menerima siapa saya.
"Bererti jika dunia lakonan yang saya ceburi, dia kena menerimanya dengan hati terbuka. Tindakan saya berkongsi kata laluan akaun Instagram memang sangat tidak bijak dan ia menjadi pengajaran terbesar untuk saya," kata Ezzaty yang ketika ditemubual baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama Stela sebanyak 13 episod untuk TV9.
Kata Ezzaty kini, dia sudah boleh menerima hakikat dan tidak lagi mengenang cerita lalu.
"Sudah tiada jodoh antara kami. Cuma satu sahaja yang boleh saya katakan tiada kejujuran antara hubungan kami. Saya sudah boleh 'move on' dan gembira. Saya dapat tahu pun, dia sudah ada pengganti. Kami patut kahwin bulan September dan bulan itu juga kami putus," kata Ezzaty yang mengenali bekas kekasihnya selama sembilan bulan.
Nama Ezzaty baru-baru ini kecoh dikaitkan bercinta dengan Azwan Kombos selepas merakamkan gambar bersama di laman Instagram. Bagaimanapun semua itu ditepis kedua-duanya sebagai gosip semata-mata.
Ezzaty dalam perkembangan lain sedang menunggu tayangan filem sulungnya, Antara Satu di samping Remy Ishak dan Bront Palarae. Selain itu filem Mirip turut dibintanginya.