KOTA BHARU 5 Jun - Sebanyak 92 peratus mangsa rogol di negeri ini merupakan golongan remaja di bawah umur.
Ketua Polis Negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, daripada jumlah itu yang dicatatkan bagi lima bulan pertama tahun ini, mangsa berusia 14 tahun adalah yang tertinggi iaitu seramai 24 orang diikuti remaja berusia 15 tahun (23), 16 tahun (15) dan 13 tahun (15).
Kata beliau, berbanding tempoh sama tahun lalu, ia hanya menunjukkan penurunan sebanyak satu peratus.
"Polis juga merekodkan sebanyak 88 kes berjaya diselesaikan dengan penahanan 90 orang tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu sebanyak 87 kes berjaya diselesaikan dengan penahanan 51 orang," katanya di sini hari ini.
Katanya, siasatan mendapati kebanyakan suspek yang ditahan merupakan penagih pil kuda.
Pada 20 Mei lalu, masyarakat digemparkan dengan laporan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dan rakannya berusia 17 tahun menjadi mangsa ‘kenduri seks’ oleh 38 lelaki di sebuah rumah kosong di Ketereh di sini.