Post by manjacat on Jun 23, 2014 8:56:13 GMT 8
Aktivis pelajar Jamhuri Mohamed, yang kritikal terhadap kampus Universiti Malaysia Sabah Labuan (Umskal), mendapati biliknya telah dipecah masuk dan terdapat bangkai ayam di situ.
Jamhuri, yang Presiden Pro-Mahasiswa Umskal, mendapati bangkai ayam itu diletak di atas katilnya manakala dindingnya diconteng mesej 'Berambuslah bodoh'.
Dalam satu kenyataan hari ini, Jurucakap Pro-Mahasiswa Umskl, Hasnur Faridah Abbas berkata, kejadian itu berlaku antara jam 9 semalam dan 12 tengah malam hari ini.
Mereka menyedarinya kejadian itu selepas pulang daripada menghadiri forum mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Jamhuri adalah antara 16 pelajar yang berdepan dengan tindakan di bawah AUKU kerana membantah penutupan kedai pelajar di kampus itu pada bulan Februari.
Mereka telah membawa kes penutupan kedai tersebut ke pengetahuan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Hasnur berkata Jamhuri telah membuat laporan polis berhubung kejadian semalam.
"Pro M UMSKAL cuma berharap peristiwa yang berlaku ini bukanlah disebabkan polemik pertembungan idealisme diantara mahasiswa kerana jelas, perbuatan ini tidak menggambarkan imej seorang pelajar Universiti," kata Hasnur.
Dalam artikelnya, Jamhuri mengecam tindakan Pengarah UMSKAL Profesor Madya Dr Ismail Ali kerana merampas kedai mahasiswa kendalian sekretariat Masjid Al Hikmah.
Jamhuri dituduh melanggar Kaedah-kaedah 3(a) Institusi Pelajaran (Tatatertib Pelajar) 1976 yang menyebut seseorang pelajar tidak boleh menyatakan bangkangan terhadap ‘sama ada di dalam atau di luar kampus, melalui apa-apa cara yang merosakkan atau mendatangkan mudarat kepada kepentingan, kesejahteraan atau nama baik Institusi atau pelajar, kakitangan, pegawai atau pekerja Institusi’.
Menurut notis bertarikh 17 Jun lalu, prosiding tatatertib terhadap Jamhuri kini ditetapkan untuk pendengaran pada 27 Jun 2014.