Tasek Gelugor: Seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) buntu dan trauma setiap kali hendak meninggalkan rumahnya dekat Kampung Lahar Tambun, di sini.
Ini kerana rumahnya sudah lapan kali dipecah masuk pencuri dalam tempoh 10 tahun dengan kes terbaharu berlaku pada Selasa minggu lalu. Dr Amir Shah Ruddin Md Sah, 45, berkata dia sudah berbelanja besar dengan melakukan pelbagai langkah keselamatan, termasuk memasang pagar dan tembok sekeliling rumah, selain memasang sistem kamera litar tertutup (CCTV).
“Semua tingkap dan pintu rumah saya dipasang jeriji besi. Saya juga memagar sekeliling rumah dan memasang CCTV, namun ia seperti tiada kesan,” katanya., di sini, semalam.
Katanya, beliau bersama isteri serta tiga anak mereka menetap di rumah berkenaan sejak tahun 2004 dengan kejadian pertama pecah masuk berlaku pada tahun 2005.
“Pencuri seolah-olah memerhatikan gerak geri kami dan mereka masuk ketika saya dan isteri keluar bekerja atau waktu kami bercuti di kampung.
“Saya kecewa kejadian ini terus berlaku walaupun aduan dibuat setiap kali pencerobohan berlaku, selain jarak rumah saya dengan Balai Polis Tasek Gelugor, hanya kira-kira satu kilometer,” katanya.