Penjaga gol Aidil Mohammad menjadi pemain paling menyerlah dalam usaha Sarawak menyelamatkan gawang mereka daripada asakan bertali arus Terengganu. Kecekapan pemain itu harus dipuji kerana berjaya memaksa skuad tuan rumah berpuas hati dengan kedudukan 0-0 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia 2014.
Aidil, yang berasal dari Mukah, menerima ujian hebat terutama di separuh masa pertama dengan sekurang-kurangnya 8 percubaan tepat dihasilkan Terengganu, sebaliknya hanya 1 percubaan tepat daripada Sarawak.
Nor Farhan Muhammad antara individu yang menjadi watak utama barisan serangan Terengganu apabila dilihat kerap kali merbahayakan kubu Sarawak.
Walaupun terikat tanpa jaringan, skuad Penyu tetap berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2014 apabila berada di kedudukan kedua (9 mata) kumpulan B selepas menamatkan 6 perlawanan. Manakala Sarawak tersingkir apabila berada di kedudukan terbawah.
Sementara itu Kedah meraih tiga mata pada perlawanan terakhir selepas menewaskan Perak 2-0, sekaligus mengungguli kumpulan B untuk melayakkan diri ke pentas kalah mati itu.
Sementara dalam saingan kempulan D, menyaksikan Selangor mengikuti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mara ke suku akhir apabila berada di tangga kedua selepas menewaskan T-Team 1-0.
Selain menjuarai peringkat kumpulan, PDRM turut berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah pada saingan kali ini selepas menewaskan Sime Darby 3-1.