Post by manjacat on Jul 16, 2014 18:10:41 GMT 8
Masih ingat lagi dengan kumpulan rap 90-an, 4U2C? Kali terakhir kumpulan itu muncul pada tahun 1996 selepas melancarkan album terakhir mereka bertajuk Kembalilah Fiona.
Selepas itu, berakhirlah era kegemilang kumpulan 4U2C selepas ahli-ahlinya membawa haluan masing-masing.
Justeru bagi mengembalikan semula kerinduan peminat, salah seorang ahlinya, Datuk Mizal Zaini kembali menjenamakan semula kumpulan 4U2C dengan nama baru, ForUToC.
AC atau nama sebenar Mizal Zaini, 42, berkata, kumpulan yang dianggotai oleh pelawak-pelawak terkenal tanah air seperti Shuib (Sepahtu), Rahim (Sepahtu), Ajak (Shiro), Achey, Abam (Bocey) dan Fard (Bocey) itu ditubuhkan bagi mengimbau kenangan terhadap kumpulan lamanya itu.
"Saya ingin mengembalikan nostalgia kepada peminat-peminat 4U2C dahulu yang kini sudah berusia dan berkeluarga.
"Penubuhan ForUToC merupakan projek khas untuk Hari Raya ini apabila kami sudah merakamkan dan memberi nafas baru kepada lagu Bergema Takbir Di Pagi Raya 2014 dengan muzik video sekali," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Album Havoc Raya dan Al Nuraa, baru-baru ini.
Lagu itu dimuatkan dalam album Havoc Raya terbitan Sony Music bersama 16 buah kompilasi lagu raya dendangan pelbagai artis.
AC berkata, pemilihan pelawak tersebut kerana kemampuan mereka menyanyi dengan baik pada program Maharaja Lawak Mega sebelum ini.
"Jangan terkejut kalau saya katakan mereka memiliki nada suara yang bagus dan lebih baik dari ahli 4U2C dulu.
"Ini dapat dibuktikan apabila dalam lagu Bergema Takbir Di Pagi Raya, mereka yang menyanyi dan saya hanya menyanyi bahagian rap sahaja," ujarnya.
Namun AC berkata, dia telah menetapkan syarat kepada semua pelawak tersebut agar tidak membuat lawak di atas pentas, sebaliknya muncul sebagai penyanyi profesional ketika persembahan.
Mengulas tentang anggota kumpulan lama, AC berkata, rakan-rakannya itu tidak akan berkecil hati dengan penubuhan kumpulan itu kerana mereka kini sudah mempunyai haluan hidup sendiri dan tidak lagi berminat dengan dunia hiburan.
"Mereka tahu tentang kewujudan ForUToC ini. Semua bekas anggota 4U2C sudah ada haluan dan kerjaya mereka sendiri," katanya.
AC turut meluahkan rasa syukur apabila kumpulan ForUToC sudah mendapat banyak permintaan persembahan nyanyian sempena Syawal nanti biarpun baru ditubuhkan.
Namun dia mengakui bukan sesuatu yang mudah untuk mengumpulkan kesemua mereka bagi melakukan persembahan berikutan komitmen mereka terhadap kerjaya sebagai pelawak.
anyway, terimalah lagu mereka