Post by manjacat on Jul 21, 2014 16:57:55 GMT 8
Siti Marzura Marzuki
BAGI ibu bapa yang mempunyai anak kecil, perbelanjaan untuk taska dan tadika menjadi item tetap dalam belanjawan bulanan mereka.
Siti Marzura Marzuki, 29, berkata, dia memperuntukkan sekitar RM900 sehingga RM1,000 untuk membayar yuran bagi dua orang anaknya setiap bulan.
"Yuran bulanan ada RM250 bagi seorang anak, tetapi jumlah selebihnya adalah untuk menampung pembayaran kerja lebih masa (OT) selepas tamat operasi iaitu pada jam 6 petang.
"Saya bekerja bermula 2 petang sehingga 11 malam dan saya terpaksa membayar RM3 sejam untuk setiap seorang apabila lebih masa," katanya.
Menurutnya, walaupun agak terbeban dengan yuran tersebut tetapi dia tidak ada pilihan lain.
Katanya, dia pernah terfikir untuk mencari pengasuh di rumah tetapi rata-rata tidak mahu menjaga sehingga malam dan hujung minggu.
"Akhirnya saya ambil keputusan hantar taska, lagipun anak-anak saya sudah biasa dengan suasana taska," katanya.
Sementara itu, Norazwani Yusoff, 31, berkata, dia menghantar anaknya ke taska kerana harga yuran lebih berbaloi dengan perkhidmatan yang disediakan.
"Sebulan saya bayar sekitar RM250 untuk anak berumur dua tahun dan transit RM100, tidak termasuk kerja lebih masa.
"Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan perkhidmatan dan anak saya membesar di taska dari kecil lagi," katanya.
Menurutnya, anak-anak akan lebih terjamin dari segi keselamatan kerana di bawah pengawasan pihak berwajib yang sering membuat pemantauan dan lawatan ke taska-taska yang berdaftar.
Mohamad Saufi Haili, 30, berkata, dia membelanjakan RM400 sebulan hanya untuk seorang anak, tidak termasuk untuk OT.
Katanya, dia tidak berkira tentang kos yuran, asalkan kebajikan anak lebih terjaga.
"Saya pernah hantar anak di rumah pengasuh dan jika dibandingkan, anak saya lebih selesa di taska.
"Dengan perkembangan berbeza sejak sebulan menghantarnya di taska, saya tidak kisah harga lebih mahal yang penting dia selesa dan boleh belajar berdikari," katanya.
Seorang lagi ibu, Siti Mariam Abdullah, 35, yang menetap di Kuantan hanya perlu membayar RM580 bagi dua orang anak.
"Saya juga turut memohon bantuan Subsidi Yuran Pengasuhan JKM, bagi membantu meringankan beban," katanya.
Menurutnya, dari segi yuran taska, ia adalah sama jika dibandingkan dengan menggaji pengasuh di rumah.
Sinar Harian