Post by manjacat on Aug 4, 2014 11:01:55 GMT 8
KUALA LUMPUR: Pengurus Besar studio filem animasi terbesar Jepun, Studio Ghibli mengumumkan hari ini bahawa ia akan menghentikan penerbitan filem-filem animasi yang menjadi tunggak kejayaannya selama ini.
Pengumuman itu dibuat Toshio dalam satu siaran televisyen di Jepun, sekaligus memberikan kejutan kepada peminat filem animasi bukan sahaja di negara itu malah di seluruh dunia.
Berita mengenai kemungkinan studio itu ditutup telah tersebar di laman-laman web sejak beberapa tahun yang lalu. Pengumuman hari ini mengesahkan mengenai berita penutupan itu yang beberapa kali dinafikan studio itu sebelum ini.
Studio Ghibli bertanggungjawab menerbitkan banyak filem-filem animasi yang mendapat sambutan hebat bukan sahaja dfi Jepun tetapi di seluruh dunia dengan ramai yang menjadi pengikut tegar filem-filem terbitannya.
Antara filem yang mendapat sambutan hangat Spirited Away, My Neighbour Totoro dan Howl’s Moving Castle.
Namun adalah tidak menjadi rahsia lagi yang studio itu sedang berhadapan masalah kewangan dengan beberapa filem terbaru terbitannya gagal memberikan pulangan seperti yang diharapkan.
Filem terbarunya The Tale of Princess Kaguya, yang dikeluarkan pada 2013, hanya memberikan pulangan sejumlah 5.1 bilion dan dianggap gagal berikutan kos penerbitannya yang dikatakan tinggi.
Pengasas bersama dan orang penting disebalik kejayaan studio itu Hayao Miyazaki bersara tahun lalu sebelum tempatnya diambil oleh Toshio Suzuki yang kini bertindak sebagai pengurus besar studio itu.
Antara perancangan studio itu kini adalah untuk menguruskan tanda dagangan dan hak cipta filem-filem terbitannya dengan kakitangan yang terhad. Kemungkinan juga kesemua kakitangan sepenuh masa yang terbabit dalam pembikinan filem-filem keluaran studio itu akan dihentikan.
Filem When Marnie Was There akan menjadi animasi terakhir keluaran studio itu. Ia ditayangkan pada 19 Julai lalu di Jepun.
- Astro Awani