Post by signofdacreator on May 14, 2014 10:11:39 GMT 8
Penjaga gol utama, Razi Effendi Suhit dan Hardi Jaafar hampir pasti tidak dapat diturunkan apabila Perak bertandang ke Kota Bharu menentang Kelantan pada Liga Super di Stadium Sultan Mohammed IV, Sabtu ini.
Dua pemain itu mengalami kecederaan lutut agak serius ketika bertemu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) minggu lalu.
Ketua jurulatih Perak Abu Bakar Fadzim berkata, pasukan itu terpaksa menanti keputusan ujian imbasan MRI kedua-dua pemain untuk menentukan tahap kecederaan mereka.
“Memang nampak teruk.
Saya tidak fikir kedua-dua pemain itu boleh beraksi dalam perlawanan terdekat ini.
“Apapun perlu tunggu keputusan pemeriksaan, baru tahu tahap kecederaan mereka,” jelasnya.
Berikutan kecederaan Razi, penjaga gol kedua Mohd Nor Haziq Aris menjadi benteng terakhir kubu Seladang pada babak kedua.
Dia yang tewas menerusi sepakan percuma Juan Manuel Arostegui dari hujung kotak penalti pada masa kecederaan dijangka terus diberi kepercayaan di benteng terakhir Perak di Kota Bharu.
Manakala penjaga gol ketiga, Hairool Fazreen Abu Hassan berpeluang buat kali pertama berada dalam senarai 18 pemain bagi menghadapi The Red Warriors.