Suspek militan Malaysia yang setia kepada kumpulan bersenjata Negara Islam membeli bahan membuat bom ekoran cadangan serangan terhadap kilang arak Carlsberg di Shah Alam, kata pegawai kanan antiterorisme.
Rancangan itu, yang menurut pegawai itu dalam peringkat “perbincangan”, pertama di Asia Tenggara, setelah diinspirasikan oleh kebangkitan Negara Islam di Syria dan Iraq, lapor Reuters.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-Pengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin memberitahu Reuters bahawa kumpulan 19 suspek militan sudah memperoleh serbuk aluminium, yang selalu digunakan untuk pembuatan bom.
“Dalam bentuk ideologi dan niatnya ia sangat jelas,” Ayob Khan dipetik sebagai berkata ketika diwawancara.
Kumpulan itu, lapor Reuters lagi, tujuh daripadanya pernah didakwa bawah undang-undang antikeganasan dan senjata, merancang mengebom kilang bir Denmark itu dan sasaran lain termasuk pub.
Menjawab soalan Reuters, Carlsberg Brewery Malaysia berkata, pihaknya “mengambil langkah yang perlu bagi memastikan keselamatan premis dan menjadikan keselamatan pekerja sebagai keutaman”.
Negara Islam kini menguasai utara Iraq yang menghampiri Baghdad dan menguasai bandar kedua Mosul.
Ia menyemarakkan orang Islam yang radikal di Malaysia dan Indonesia, antaranya ekoran kefahaman bahawa “peperangan terakhir” akan meletus di wilayah Syria.