Post by manjacat on Aug 22, 2014 14:47:00 GMT 8
korang tipu takleh.
kitorang merompak takpe
kitorang merompak takpe
Polis sedang mendapatkan maklumat daripada Mohd Sharif (kanan).
SENAWANG - “Jangan cuba menipu, sebab kamu baru lepas solat,” demikian jerkah salah seorang daripada tiga penjenayah terhadap sepasang suami isteri dalam satu kejadian samun di Taman Tuanku Ja’afar Fasa 3, di sini, awal pagi semalam.
Menceritakan semula detik cemas dialami sekitar jam 4 pagi itu, Mastura Baharum, 53, berkata, penceroboh berkenaan mengherdiknya kerana tidak puas hati dengan jawapan diterima membabitkan lokasi barangan kemas disimpan.
“Saya beritahu dia, kami tidak mempunyai barang kemas lain bagaimanapun, dia masih tidak percaya dan menyangka saya cuba menipunya.
“Saya kata padanya, ‘berani kamu tuduh saya menipu, sedangkan kamu yang menceroboh rumah saya’,” katanya.
Difahamkan salah seorang daripada penjenayah tersebut turut menjawab salam diberikan oleh suami Mastura iaitu Mohd Sharif Mustapa, 57, sebelum kesemuanya beredar selepas puas menggeledah bilik mereka hampir 20 minit.
Mengukuhkan lagi dakwaan Mohd Sharif, Mastura berkata, penceroboh turut mendengar rayuannya yang meminta supaya ikatan dawai besi pada tangan suaminya dibuka kerana didapati terlalu ketat hingga membengkak.
“Melihatkan keadaan itu, mereka segera menggantikan dawai besi kepada tali kain baju saya dalam almari. Kemudian, mereka turut mengangkat suami saya dari lantai ke atas katil dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Sharif memberitahu, insiden tersebut bermula ketika isterinya bangun mengerjakan solat sunat tahajud.
“Dia segera mengejutkan saya, selepas terdengar bunyi sesuatu di dapur. Sebaik sahaja pintu dibuka, saya dan isteri terperanjat apabila melihat tiga kelibat lelaki berpenutup muka sedang berdiri di hadapan kami.
“Salah seorang daripadanya bertindak pantas mengacukan parang ke leher isteri saya lantas mengugutnya supaya memberitahu lokasi barang berharga disimpan, manakala dua lagi pula bertindak mengikat tangan dan kaki saya menggunakan dawai besi,” katanya.
Akibat insiden tersebut, mereka berdua kerugian kira-kira RM110,000 terdiri daripada barang kemas, wang tunai, tiga telefon bimbit dan tiga jam tangan berjenama.
“Sebelum beredar, ketiga-tiga penjenayah turut memberi amaran supaya tidak berbuat apa-apa selama 20 minit sehinggalah mereka selamat melarikan diri.
“Bagaimanapun, saya membuka ikatan tangan dan kaki lebih kurang 10 minit kemudian, sebelum meminta bantuan seorang pengawal keselamatan yang bertugas menjaga salah sebuah rumah jiran saya untuk menghubungi polis,” katanya.
Berdasarkan siasatan awal polis, kata Mohd Sharif, berkemungkinan penjenayah memasuki kediamannya melalui rumah sebelah yang tidak berpenghuni, selepas memotong sebahagian pagar dawai.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Baharudin Mustapha ketika dihubungi mengesahkan laporan kejadian berkenaan.