Post by manjacat on Aug 22, 2014 19:55:06 GMT 8
KOTA BHARU - Kemiskinan hidup menjadikan 14 sekeluarga yang tinggal di bangsal usang yang berlantaikan tanah di Kampung Demit, Kubang Kerian, di sini, memohon bantuan rumah.
Lebih malang bagi ibu tunggal, Siti Fatimah Muhamad, 56, yang terpaksa tinggal bersama tiga lagi anak yang sudah berkeluarga duduk bersama di bawah satu bumbung usang.
“Kami sudah diminta oleh pemilik tanah supaya mencari tempat kediaman lain kerana tanah ini bukan atas nama arwah suami. Setakat ini kami tidak pernah memohon bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Dalam rumah ini terdapat tiga anak yang sudah berkeluarga dengan 11 anak masing-masing, salah seorang daripada mereka juga ibu tunggal seperti makcik,” katanya kepada Sinar Harian di kediaman mereka di Jalan Taski Al-Mardiah, Demit, Kubang Kerian, di sini, kelmarin.
Kisah hidup keluarga tersebut ditemui semasa program pelancaran ‘Ke arah Kelantan Bebas Denggi’ di sekitar Kampung Demit, Kubang Kerian apabila Ahli Parlimen Kubang Kerian, Ahmad Baihaqi Atiqullah dan Adun Demit, Mumtaz Md Nawi dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu, Adnan Husin melawat keluarga berkenaan.
Siti Fatimah berkata, bangsal tersebut didiami sejak lebih 20 tahun lalu bersama empat anaknya dan pendapatan bulanan hanya bergantung kepada bantuan daripada Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) RM350.
Tiga anaknya yang berkeluarga iaitu Mohd Hafizal Mat Amin, 29 bekerja sebagai juru kimpal dan tukang rumah dengan mempunyai dua anak; seorang lagi Mohd Zulkifli Mat Amin, 30 belum dikurniakan anak dan ibu tunggal, Che Rosmaria Che Hadi bersama tiga anak.
“Cucu paling kecil yang tinggal di rumah ini iaitu Mohd Hafiz Irfan Mohd Imran berusia enam bulan dan seorang cucu masih bersekolah.
“Perbelanjaan harian biasanya dikongsi bersama daripada himpunan gaji salah seorang anak yang bekerja di pasar raya di bandar Kota Bharu, manakala anak-anak lain tidak mempunyai pekerjaan tetap,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Baihaqi berkata, pihaknya kini berusaha mendapatkan tapak rumah yang baru memandangkan keluarga berkenaan tidak mempunyai tanah sendiri.
“Berdasarkan perbualan, mereka layak mendapat bantuan rumah kerana mempunyai anak yang ramai dan dua ibu tunggal ada di dalam satu rumah, namun kita perlu menyelesaikan tapak tanah,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga tersebut boleh mengadakan kunjungan ke alamat: Lot 204, Jalan Taski Al-Mardiah, Demit, Kubang Kerian atau menghubungi 01129208545 (Che Rosmaria).