Ibu tunggal bersama 2 anak terpaksa tidur dalam kereta Kancil tak mampu bayar sewa
Melaka: Seorang ibu tunggal terpaksa tidur di dalam Perodua Kancil bersama dua anak perempuannya sejak dua minggu lalu kerana tidak mampu menyewa rumah selepas diberhentikan kerja.
Siti Hajar Ismail, 35, mendakwa dia tidak ada pilihan lain untuk mencari tempat berlindung kerana hilang punca pendapatan selepas diberhentikan kerja sebagai pembantu restoran.
Menurutnya, dia mengambil keputusan ‘bergelendangan’ di dalam kereta bersama dua anak berusia enam dan lapan tahun kerana tidak mahu menyusahkan saudara dan rakan selepas menumpang di rumah mereka sejak diceraikan Jun lalu.
“Saya tidak mampu menyediakan wang pendahuluan menyewa rumah, malah duit yang ada saya perlu untuk belanja makan dan menyara anak,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Barisan Nasional (PEMBELA BN) negeri di Ayer Keroh, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah PEMBELA BN negeri Amir Hamzah Aziz.
Siti Hajar berkata, untuk keselamatan diri dan anak, keretanya itu diletakkan di hadapan rumah rakan di Batu Berendam, di sini.
Katanya, untuk makan dan membersihkan diri, dia hanya mengharapkan simpati rakan atau saudara.
“Walaupun berpanas, menghadapi gangguan nyamuk dan tidak selesa tidur di tempat duduk pemandu, saya memaksa diri demi kelangsungan hidup,” katanya.
Menurutnya, hatinya sebak kerana anaknya sering bertanya mengapa tidak membawa mereka tinggal di rumah seperti sebelum ini.