Post by manjacat on Aug 22, 2014 19:59:07 GMT 8
LABIS – Kekurangan bekalan pisang dan kenaikan hasil tanaman tersebut secara mendadak melebihi 100 peratus sejak lebih sebulan lalu menjejaskan pendapatan peniaga pisang goreng di kebanyakan tempat di sini.
Pekebun, Mohd Fahmi Idris,58, berkata, banyak faktor menyebabkan bekalan pisang berkurangan di pasaran antaranya musuh tanaman seperti monyet dan **** hutan yang tidak terkawal serta penyakit beberapa jenis tanaman pisang.
“Selain itu, tidak ramai berminat menanam pisang disebabkan gangguan binatang liar, keadaan cuaca tidak menentu dan lain-lain lagi antara faktor penyebab bekalan pisang semakin berkurangan di sini.
“Pihak berwajib terutamanya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) harus membantu penduduk kampung untuk mengawal haiwan perosak tersebut dengan lebih serius terlebih dahulu sebelum menyimpan hasrat menyelesaikan masalah tersebut,” katanya.
Menurutnya, dia sendiri seakan serik untuk menanam pisang disebabkan tidak mampu mengawal monyet dan **** hutan yang memusnahkan tanaman seawal anak benih ditanam hinggalah ke peringkat hendak menuai hasil.
Terdapat juga pekebun yang terpaksa ‘berperang’ dengan **** hutan kerana pagar dawai duri yang dipasang tidak memadai menghalang haiwan tersebut yang sering datang pada waktu malam memusnahkan tanaman.
Peniaga, Mohd Salleh Misnan, 50, berkata, pendapatannya menyusut hampir 50 peratus berbanding sebelum ini akibat tidak dapat menjual pisang goreng kerana tidak mampu mendapatkan bekalan pisang.
“Sejak berniaga lebih 10 lalu, pisang goreng merupakan jualan utama saya selama ini dan kesukaran mendapatkan bekalan pisang sekarang membuatkan pendapatan saya terjejas teruk kerana terpaksa bertukar kepada jualan keledek goreng dan keropok lekor buat sementara waktu.
“Saya terpaksa mencari pisang di Muar, Batu pahat dan Pontian, namun bekalan yang saya dapat terlalu sedikit dan tidak mampu menampung keperluan jualan saya setiap hari dan harga pisang di pasaran seperti pisang tanduk juga turut melambung,” katanya.
Salleh juga turut bimbang nasibnya dan rakan peniaga lain jika keadaan ini berterusan kemungkinan dia mungkin tidak boleh lagi menjalankan perniagaan yang telah menjadi punca keluarganya sejak lebih 20 tahun lalu.
Pada masa sama, dia berharap masalah ini mendapat perhatian dari mana-mana pihak berkenaan untuk mencari punca yang menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan, seterusnya usaha mengatasi masalah tersebut dapat dilakukan.