Post by manjacat on Aug 25, 2014 13:45:56 GMT 8
POKOK SENA - Hasrat sepasang suami isteri untuk mengadakan majlis perkahwinan anak bongsu mereka pada Disember nanti tidak kesampaian apabila rumah mereka di Kampung Jabi, Mukim Jabi dekat sini musnah dalam kebakaran, baru-baru ini.
Menurut Azizah Rejab, 60, semua barangan untuk persiapan kenduri anaknya, Siti Aishah, 24, tidak dapat diselamatkan kerana api terlalu marak hingga menyebabkan dia dan suaminya, Abu Bakar Mat Isa, 63, terpaksa keluar sehelai sepinggang menyelamatkan diri.
Katanya, semasa kejadian pada jam 12.30 tengah malam itu, dia dan suaminya sedang tidur di bilik bawah dan tiba-tiba terjaga apabila terdengar seperti angin kuat. Bimbang dengan keadaan itu, dia dan suami naik ke atas rumah lalu melihat api telah menjilat keseluruhan ruang itu.
“Makcik dan pakcik turun mengambil air dan sempat menyimbah dua timba sahaja dan kemudian terpaksa keluar dari rumah melalui pintu belakang kerana tidak mampu memadamnya.
“Apabila keluar dari pintu belakang, kami dapati beberapa penduduk sudah berada berhampiran rumah untuk membantu. Bagaimanapun, api yang marak begitu cepat itu menyebabkan penduduk tewas,” katanya.
Azizah berkata, difahamkan sebelum itu, beberapa penduduk telah mengetuk pintu untuk memaklumkan mereka nampak api di bumbung rumahnya itu.
Bagaimanapun, pada masa itu dia masih tidak sedar kerana tidur di bilik bawah.
“Kami bersyukur kerana walaupun semua peralatan persiapan perkahwinan anak kami musnah, tetapi ALLAH SWT masih sayangkan kami dengan mengejutkan semasa kejadian itu. Jika kami tidak sedar, tidak tahulah apa akan terjadi kepada kami berdua,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang mengunjungi keluarga itu turut simpati dengan musibah yang menimpa keluarga itu.
Bagaimanapun, beliau turut menasihati keluarga itu supaya bersabar dengan dugaan ALLAH SWT serta turut menghulurkan sumbangan peribadi.