Bas bawa 24 pelajar USIM terbabas di Ulu Yam, tiga cedera parah
KUALA LUMPUR: Sebuah bas yang dalam perjalanan ke Nilai, Negeri Sembilan terbabas ke bahu jalan dari lorong kiri Jalan Sungai Tua, Ulu Yam, Selangor berdekatan Empangan Batu pada jam 6:30 petang tadi.
Bas yang membawa 24 pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan dua orang pemandu itu dalam perjalanan pulang dari Kem Eco Ulu Yam menuju ke kolej mereka di Nilai.
Menurut Pegawai Penyiasat IPD Gombak, Ramachandran Letchumanan siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan brek bas yang gagal berfungsi secara tiba-tiba
“Bilangan yang cedera parah adalah tiga orang manakala 9 orang cedera ringan, mangsa-mangsa lain dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Selayang dan Hospital Besar Kuala Lumpur untuk rawatan susulan.
Pasukan bomba dan penyelamat berada di tempat kejadian sehingga pukul 9:45 malam untuk membawa mangsa keluar dari bas.
Keadaan lalulintas dilaporkan sesak sehingga 2 kilometer dari tempat kejadian.