[DIKEMASKINI] 14 cedera letupan di hadapan kelab malam Bukit Bintang
KUALA LUMPUR - Seorang parah, manakala 13 orang awam cedera dalam kejadian letupan di hadapan sebuah kelab malam di Bukit Bintang, di sini awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Khairi Ahrasa berkata, kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu berpunca daripada bahan letupan, dipercayai bom buatan sendiri.
"Kita masih menyiasat bahan letupan itu, kita temui beberapa bahan bukti di lokasi kejadian," katanya. Ia dipercayai kejadian serangan bom pertama di pusat hiburan di negara ini dan dipercayai berpunca daripada pergaduhan antara dua kumpulan kongsi gelap.
"Kita akan lihat semua latar belakang. Siasat motif kejadian," katanya.
Dalam pada itu, kesemua mangsa yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 4 akta senjata dan 307 Kanun Keseksaan.
Anggota unit pemusnah bom juga turut kelihatan di lokasi untuk memusnahkan sebutir lagi bom di bawah kereta mewah jenis Toyota Vellfire. Turut kelihatan beberapa anggota tentera di lokasi kejadian termasuk anggota bomba dan penyelamat.