Tokyo: Tindakan seorang lelaki cuba memberikan rawatan kecemasan kepada wanita mangsa kemalangan menyebabkan dia dituduh penipu dan kaki cabul, lapor media semalam.
Kata lelaki itu, dia disoal siasat polis dan digelar pembohong hanya kerana dia menggunting baju seorang wanita untuk membolehkan alat Automated External Defibrillator (AED) dipasang pada dada mangsa terbabit.
Katanya, dia terserempak dengan kemalangan jalan raya baru-baru ini dan mendapati pemandu kereta terbabit tidak mengalami kecederaan serius.
"Bagaimanapun, seorang penumpang tidak sedarkan diri dan saya tidak dapat mengesan nadinya.
"Justeru, saya cuba memberikan bantuan pernafasan, manakala ada orang lain menghubungi ambulans," katanya.
Sementara menunggu bantuan sampai, seseorang pergi ke kedai membeli alat AED itu.
AED adalah peranti untuk menganalisis rentak jantung dan jika perlu, boleh menghasilkan kejutan elektrik untuk mengembalikan fungsi organ itu kepada tahap normal.
Kata lelaki terbabit, dia mengambil gunting dalam kotak AED itu dan mula memotong pakaian wanita berkenaan.
"Tiba-tiba pemandu kereta memarahi saya dan memanggil saya hentai (penipu) sebelum menghubungi polis mengadu saya seorang chikan (kaki cabul)," katanya.
Dia kemudian disoal siasat polis sebelum dibebaskan.
Wanita mangsa kemalangan itu pula dilaporkan selamat selepas dibawa ke hospital.
Walaupun ada pihak mahu memberikan sijil penghargaan kepada lelaki itu, dia berkata, ia bukanlah perkara penting dan tidak berniat menerimanya.
"Penggunaan AED hanya berkesan jika diletakkan bersentuhan dengan kulit. Saya rasa semua pihak perlu memahaminya," katanya.