Kuala Lumpur: Tidak berpuas hati dengan hasil samun yang tidak seberapa, seorang lelaki warga Indonesia bertindak melakukan satu lagi samun di sebuah kafe siber di pusat perniagaan Fadason, Jinjang di sini, petang semalam.
Bagaimanapun, tindakannya itu mengundang padah apabila dia maut ditembak, ketika mengacukan pistol kepada dua anggota polis yang sedang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, penjenayah solo terbabit sebelum itu berjaya melarikan wang tunai sebanyak RM152 dari sebuah klinik di Jalan Jambu, Jinjang kira-kira jam 1.30 petang sebelum cuba menyamun kafe siber berkenaan setengah jam kemudian. Difahamkan, suspek berusia 24 tahun itu dilihat beberapa kali berulang-alik di hadapan kafe siber berkenaan dengan menunggang sebuah motosikal Suzuki RG tanpa menggunakan nombor pendaftaran.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, seorang anggota polis masuk ke dalam kafe siber berkenaan untuk menyamar sebagai pelanggan.